Seni Silat Budaya Kelantan

Watch the video

Seni Silat Budaya Kelantan

Bagi membudayakan seni silat Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara Kelantan (WARIS) telah menganjurkan Festival Silat Kebangsaan Kelantan 2017 bertempat di Gelanggang Seni, pada 21 dan 22 April lalu.

 

Program yang dianjurkan sebanyak empat kali itu melibatkan 300 orang peserta dari 10 perguruan tempatan, antaranya Persatuan Seni Silat Lintau, Gayung Warisan, Gayong 3 Kalimah, Gayung Ma’rifat dan Waris Ku Ngah. Manakala penyertaan luar terdiri dari negeri Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Johor dan Kuala Lumpur.

 

Md Anizam selaku Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan berkata, program ini merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan seni silat di seluruh Malaysia umumnya dan di Kelantan khususnya disamping menjadi satu keunikan dan tarikan pelancong ke negeri ini dengan bertemakan 'Kelantan Di Hati'.

 

Majlis Penyampaian Selempang Kehormat Mahkota Setia Seri Pendekar Kelantan kepada Md. Anizam yang membawa gelaran ‘Bapa Pelestarian Pembangunan Seni Silat Kelantan’ atas jasa dan bakti beliau dalam menaikkan dan memartabatkan seni silat di Negeri Kelantan. Terdahulu, majlis penyampaian cenderahati disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, diiringi Pengurus TIC Kelantan.

 

Turut diadakan Pertandingan Seni Silat Jatuh Juara Antara Juara yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan dan juga Perarakan Festival sejauh 1.33 km sekitar bandar Kota Bharu.