Karnival Bikeweek Meriah Dengan Kehadiran Awie Wings

Watch the video

Karnival Bikeweek Meriah Dengan Kehadiran Awie Wings

Hampir sepuluh ribu orang mengunjungi program Kelantan International Bike Week 2017 yang dianjurkan oleh Urus Setia Belia dan Sukan (Ubes) dengan kerjasama Darulnaim Bikers. 

 

Kerajaan Kelantan menggalakkan kegiatan dan aktiviti sukan dan hiburan belia yang sihat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan. Abdul Fattah Mahmood berkata sedemikian semasa merasmikan program Kelantan International Bike Week 2017 yang diiringi oleh Ahmad Fadhli Shaari,Pengarah UBES,dan Mohamad Ausri Hussin, Presiden Darulnaim Bikers.

 

Program yang berlangsung selama dua hari itu telah diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada 7 dan 8 Julai lepas. Lebih empat ribu penunggang motorsikal dari seratus kelab di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand menyertai program tersebut. 

 

Jelajah bikers bersama Awie ke Maahad Tahfiz Darul-Ulum di Meranti, Pasir Mas telah menarik perhatian penduduk setempat dan konvoi itu disambut oleh ADUN Meranti, Dato’ Nasaruddin Daud. Wings Motor Gang Society turut memberi sumbangan kepada Maahad Tahfiz Darul Ulum.  

 

Para konvoi turut dihiburkan dengan persembahan nasyid dan dikir barat oleh pelajar-pelajar tahfiz. 

 

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti persembahan Muay Thai, ekzos bingit superbike, stunt show, serta pertandingan motor kapchai pelbagai kategori. 

 

Program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, nasyid, dikir barat dan cabutan bertuah serta nyanyian dari Awie Wings yang dihadiri kira-kira sepuluh ribu pengunjung pada sebelah malam di dataran stadium Kota Bharu.